Bila Ibu Suka Berleter

SOALAN:

Cikgu, ibu saya sering berleter. Semua yang saya lakukan ada sahaja yang tidak kena.Saya berasa rimas dan kadang-kadang terfikir mahu lari dari rumah sahaja. Apa yang patut saya buat?

JAWAPAN:
Sememangnya ibu-ibu di seluruh dunia, tidak kira bangsa apa pun, selalunya suka berleter. Jadi, sikap ibu adik itu dikira normallah. satu fakta yang adik perlu tahu, berleter dapat mengurangkan tahap ketinggian darah. Maksudnya, jika penghidap darah tinggi, selalu berleter bagus untuk mereka selain dapat mengurangkan tekanan! Cuma, biasalah kadang-kadang kita tak larat mendengarnya. Bukan ibu adik sahaja, tetapi cikgu berani jamin ramai ibu pembaca ‘Gen-Q’ pun begitu.

Cikgu sarankan begini: setiap kali kena leter, cuba fikir sebentar sebab apa kita dileteri?

Selalunya ibu akan berleter selepas dipesan banyak kali, tetapi kita masih tak buat. Ataupun sudah dilarang buat sesuatu, tetapi kita masih buat lagi. itu puncanya.

ibuTidak ada ibu dalam dunia ini yang tiba-tiba tengok muka kita sahaja, terus berleter. Asal berleter sahaja, tengok muka kita. Jadi, elakkan buat perkara yang ibu larang ataupun tak suka. Contohnya bilik bersepah, suka bergayut telefon dan sMs, katil tidak berkemas, tuala sidai merata-rata, badan berpeluh terus berbaring di atas sofa, semua ini sikap-sikap yang boleh menyebabkan ibu tidak suka melihatnya.

Apa yang perlu dibuat? ubah sedikit demi sedikit sikap kita. Mula kumpul baju kotor di dalam bakul, bangun tidur sahaja, kemas katil dahulu. Rupa-rupanya ada juga orang yang malas kemas katil sendiri. Apabila ditanya, “Kenapa tak kemas katil?” Dia dengan selamba boleh menjawab, Relaks la, esok nak tidur lagi, buat apa kemas?” Kalau macam itu, baik jangan mandi, sebab nanti berpeluh lagi. Baik jangan berus gigi, nanti selepas makan kotor lagi. Baik jangan gosok baju, nanti berkedut balik.

Betul tak? Jadi, untuk elak dileteri ibu, ubah cara dan sikap kita. Ibu tenang, telinga kita pun senang. Ibu cuma nak ajar kita supaya kita jadi manusia berdisiplin dan berguna.

Untuk selesaikan masalah ini, kedua-dua pihak perlu bersabar. Tak adillah jika cikgu kata adik sahaja yang perlu bersabar. sebenarnya, ibu juga perlu bersabar (maaf ya ibu, saya nasihat demi kebaikan bersama). Mengikut kajian psikologi, belajar melalui penglihatan lebih berkesan daripada belajar melalui pendengaran. Maksudnya, untuk mengajar anak-anak tentang sesuatu perkara, praktikal mesti dibuat oleh ibu bapa dahulu.

Sebelum menyuruh anak-anak menunaikan solat, ibu bapa perlu solat dahulu. Sebelum menyuruh anak-anak berdisiplin, ibu bapa perlu berdisiplin dahulu. Sebelum menyuruh anak-anak rajin membaca, ibu bapa amalkan membaca dahulu. Lambat laun, perbuatan ibu bapa itu akan diikut oleh anak-anak. Tetapi yang penting, sabar!

Untuk adik pula, cuba adik fikir apa guna hidup kalau tidak ada disiplin? Dalam islam juga, disiplin dan kebersihan diutamakan. Dalam solat contohnya, bolehkah kita sujud dahulu sebelum rukuk? Tidak boleh, mesti teratur.

Apabila ingin berbuka puasa pula, berbuka lewat waktu pun dikira makruh. Itu disiplin namanya. Kadang-kadang kita tak mahu fikirkan perkara yang remeh. Tidak boleh begitu. Contohnya, kita mengecat rumah dengan cantik, tetapi pintu pula kita tidak cat. Alasannya, sebab rumah besar, jadi perlu dicat dengan cantik. Tetapi pintu bahagian yang kecil sahaja, tidak perlu cat pun tak mengapa. Apa yang berlaku?

Disebabkan pintu yang kecil itu tak dicat, rumah itu terus hodoh. Begitu juga hidup kita, mesti mengambil berat perkara yang remeh, insya-Allah, kita lebih hebat daripada yang biasa.

Cuba baca maksud hadis ini; Anas r.a., berkata: “Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: ‘Bersihkan kencing dengan sempurna kerana kebanyakan azab kubur disebabkan olehnya.’ ini soal remeh, tetapi cuba tengok apa kesannya? Memang pada mulanya susah untuk kita berubah, tetapi kita mesti bersabar. Setiap yang baik yang kita mahu lakukan mesti berpegang pada dua perkara iaitu istiqamah dan sabar. Istiqamah maksudnya buat secara berterusan (jangan jadi hangat-hangat tahi ayam). Untuk istiqamah, kita mesti bersabar. Maaf, cikgu pula banyak berleter kali ni. Jadi, sebagai penutupnya, kita mesti berubah.

Sumber: Cikgu Yaser Mohd Akhir (Artikel daripada Majalah Gen Q isu 7)

About admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *