Cara Berbeza Didik Anak Lelaki & Anak Perempuan

Daripada ibu bapa yang sama (dari rahim ibu dan sulbi bapa) akan lahir beberapa orang zuriat. Tetapi setiap anak mempunyai jasad lahiriah dan personaliti yang berbeza-beza. Justeru, cara mendidik dan memberi kasih sayang kepada anak-anak adalah berbeza-beza.

Cara didikan anak lelaki dengan anak perempuan berbeza. Anak sulung dengan yang bongsu juga berbeza. Ibu bapa tidak boleh mendidik anak perempuan sama seperti mendidik anak lelaki.

Ibu bapa juga tidak boleh membelikan pakaian dengan saiz yang sama, sebaliknya saiz pakaian mestilah sesuai dengan tubuh badan dan jantina masing-masing. Perbezaan di sini bukan bermaksud membezakan kasih sayang anak-anak kerana adalah tidak adil jika ibu bapa membezakan kasih sayang anak-anak. Sebaliknya membezakan anak-anak adalah untuk bertindak adil.

Ibu bapa harus melahirkan kasih sayang yang sama dan seimbang supaya tidak disalah tafsir oleh anak-anak. Apakah adil sekiranya seorang ayah yang membelikan pakaian yang sama saiz untuk anak yang berumur 7 tahun dan yang berumur 17 tahun? Sudah tentu tidak. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah bijaksana dalam berlaku adil terhadap anak-anak. Supaya tidak ada yang tersisih dan terasa terabai.

Adil di sini bukan semata-mata adil dari segi kebendaan sahaja. Malah ibu bapa juga perlu adil dalam meluahkan kasih sayang terhadap anak-anak. Kesan Jika Ibu Bapa Tidak Bertindak Adil dalam Mendidik Anak-anak

  • Melahirkan sifat hasad dengki dalam diri anak-anak.
  • Anak akan rasa tersisih.
  • Merosakkan hubungan kekeluargaan.
  • Berlaku kekeliruan peribadi dalam diri anak-anak.

Faktor yang paling berkesan untuk merangsang anak-anak menjadi insan yang positif ialah kasih sayang yang bernaungkan keredaan Allah s.w.t. Oleh itu, ibu bapa mesti belajar mempamerkan kasih sayang secara sihat, adil dan cemerlang kepada anak-anak.

Oleh: Dato’ Dr Mohd Fadzilah Kamsah

[Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3]

About admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *