Kelebihan 2 Surah Pelindung Diri (Al-Mu’awwidzatain)

 

Pengenalan

“Al-Mu’awwidzatain” terdiri daripada dua (2) surah Madaniyah iaitu Surah Al-Falaq dan Surah An-Naas. Surah yang bermaksud “seluruh makhluk” dan “manusia” ini dipanggil Mu’awwidzatain atau Ta’awuz kerana mengandungi permohonan perlindungan ( أَعُوذُ ).

Surah-surah ini diturunkan apabila Nabi Muhammad SAW selalu berdoa kepada Allah SWT untuk memohon perlindungan dari kejahatan manusia, syaitan dan juga jin setelah disihir oleh orang Yahudi.

“Setelah turunnya dua surah ini, Rasulullah SAW melengkapkan kedua-duanya sebagai bacaan (wirid) untuk membentengi dari pandangan buruk jin mahupun manusia.” [HR. At Tirmidzi, dari shahabat Abu Sa’id RA]

Kisah Di Sebalik Turunnya Surah Al-Mu’awwidzatain

Seorang Arab Yahudi bernama Labid ibn Asim yang merupakan antara munafiq yang telah mengenakan ilmu hitam (sihir) kepada Nabi Muhammad SAW. Dia telah mengambil rambut baginda dan membuat sebelas ikatan (simpulan) dan meletakkanya di bawah batu berhampiran telaga bernama Zarwan.

Akibatnya, Nabi Muhammad SAW telah mengalami kekeliruan dan was-was tentang perkara yang telah dilakukan dan belum dilakukan baginda. (namun ia tidak mempengaruhi ajaran dan sifat kenabian baginda).

Maka, malaikat Jibrail turun menghadap Rasullullah SAW dan memberitahu perkara yang sebenar dan menyampaikan dua surah iaitu Surah Al-Falaq dan Surah An-Naas. Baginda bersama para sahabat baginda pergi ke telaga tersebut dan mengalihkan simpulan rambut tersebut.

Ketika dibacakan setiap satu ayat Surah Al-Mu’awwidzatain, simpulan itu terurai dengan sendirinya dan Alhamdulillah, ketika simpulan yang ke-11 terurai, baginda telah bebas dari pengaruh ilmu hitam tersebut.

(Rujukan: Tafsir Ibn Kathir & Ma’arif al-Qur’an)

Hubungan Surah Al-Falaq dan Surah An-Naas

  1. Kedua-duanya sama-sama mengajarkan kepada manusia, hanya kepada Allah SWT kita menyerahkan diri dan mohon perlindungan kita daripada segala kejahatan.
  2. Surah Al-Falaq memerintahkan kita untuk memohon perlindungan dari segala bentuk kejahatan, manakala Surah An-Naas memerintahkan untuk memohon perlindungan Allah SWT dari kejahatan jin dan manusia. Memohon perlindungan kepada Allah SWT merupakan sebahagian dari doa, sementara doa adalah bentuk ibadah yang terbaik.

Kelebihan Surah Al-Falaq

  1. Bila dibacakan sebelum tidur, insha-Allah dapat terhindar dari segala macam jenis sihir, godaan syaitan yang terkutuk, baik yang berasal dari golongan manusia mahupun jin.
  2. Bila dibaca 100 kali, dapat melindungi diri daripada godaan syaitan, manusia, kegelapan malam, mahupun kejahatan manusia.
  3. Bila dibaca 3 kali waktu pagi dan petang, Allah akan mencukupkan keperluannya.

Kelebihan Surah An-Naas

  1. Ia sesuai dijadikan bacaan mengukuhkan iman, menguatkan lagi ketenangan jiwa dan menjauhi bahaya.
  2. Selain itu, ia juga digunakan sebagai ayat ruqyah (amalan perubatan Islam) dan merawat luka. Sabda Nabi SAW: “Keduanya (surah Al Mu’awwidzataini) membentengi diri dari penyakit ‘ain (penyakit akibat pandangan yang berbahaya, baik pandangan bangsa jin maupun manusia).” [HR Muslim]
  3. Barangsiapa yang membaca surah ini sebanyak 3 kali pada waktu pagi dan petang, maka Allah akan mencukupinya dari segala sesuatu.

Wallahu’alam.

Semoga bermanfaat! Do LIKE & SHARE the hikmah!

About admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *